SAMBUTAN JUBLI BUAH PUKUL LIAN KE-125 TAHUN


( 5hb Januari 1897 - 5hb Januari 2022 )

Thursday, October 20, 2011

Buah Pukul (Bahagian 2)

Bismillahirahmanirahim..

Lian Padukan merupakan permainan tempur yang berasal dari permainan lama..Tanpa Lama Tiada Yang Baru.Modenisasi Buah Pukul bukan perkara baru malah sejak mula ia dikembang biak lagi ia telah mengalami pelbagai evolusi.Dalam konteks Lian Padukan ia telah dicipta oleh pengasas iaitu Allahyarham Mohamad Bin Chik a.k.a Pak Mat Kedidi untuk mengemaskan lagi sistem disiplin tempur Lian Paduka atau Buah Pukul Mersing itu sendiri.Umum mengetahui bahawa beliau merupakan salah seorang genius Buah Pukul dan telah berguru dengan ramai guru-guru Buah Pukul serta persilatan yang terkenal sebelum mengasaskan perguruan sendiri iaitu Lian Kacuk (nama sebelum Lian Padukan).
"Memperkemaskan yang longgar" itulah antara tujuan asal Pak Mat mencipta Lian Padukan.Beliau mengabungkan tunjang permainan asal dengan Tomoi.Dizaman beliau lagi ramai guru-guru sezaman beliau telah mempertikai originaliti dan tujuan beliau.Namun diatas iltizam dan semangat juang yang tak kunjung padam beliau meneruskan niat walau bergerak secara senyap.

Selepas Pak Mat Kedidi ia diwarisi oleh anak menantunya Allahyarham Abdul Razak Shariff a.k.a Razak Yahudi a.k.a Yak Daging.Walaupun tidak berkesempatan mewarisi perguruan namun sepanjang hayat beliau dipercayai terus menerus mengamalkan Lian Padukan.Beliaulah individu yang mula berani menggunakan nama Lian Padukan secara terbuka.Dipercayai ketika terpaksa meninggalkan perguruan dan mengasaskan Lian Harimau Kumbang aspek2 yang diterapkan didalam Lian Padukan terus diguna pakai didalam perguruan yang diasaskannya.Sekali lagi Lian Padukan mengalami evolusi permainan dizaman beliau kerana beliau banyak mengadaptasi serta menekankan seni atau disiplin tempur dari Korea,Jepun dan Buah Pukul yang lama bagi memantapkan lagi Lian Padukan.Beliau jugalah orang yang dipertanggungjawabkan oleh Pak Mat Kedidi melatih,mendidik dan mengasuh bakal Raja Buah Pukul yang baru iaitu Hashim Salleh (kini dikenali sebagai Ayahanda Dr. Hj Hasyim Salleh).Dengan meletakkan standard yang tinggi semasa latihan telah mempengaruhi pewaris kini meneruskan legasi beliau.

Ayahanda Dr Hj Hasyim Salleh merupakan pewaris terkini Lian Padukan.Beliau yang diberi amanah sekitar awal 1990an telah mengorak langkah yang terkehadapan dengan mendaftarkan perguruan ini diatas nama Persatuan Seni Silat Lian Padukan.Pendaftaran dibuat bersama anak muridnya iaitu Cikgu Azmi a.k.a Dato Paduka Azmi.Beliau yang juga pemegang tali pinggang hitam darjah kedua (taekwondo)banyak juga terdedah dengan pelbagai aliran dan disiplin senibladiri samada secara langsung atau tidak langsung.Yang pasti mula jatuh cinta terhadap Lian Padukan selepas tewas kepada Pak Mat Singa atau nama sebenarnya Syed Hussin Al-Idrus.Pelbagai evolusi permainan,pentadbiran dan kemajuan dilakukan oleh beliau bersama organisasi yang beliau pimpin ini.

Lian Padukan umpama sebuah evolusi kenderaan.sekiranya dahulu orang yang mempunyai kereta lembu berbangga kerana mempunyainya kini dengan peredaran zaman sudah tentunya BMW atau Mercedes menjadi kebanggaan.Samalah perumpamaan ini dengan permainan buah pukul yang lain.Lian Padukan is new form of Buah Pukul lineage.Ramai pengamal-pengamal Buah Pukul lama turut jatuh cinta termasuk penulis sendiri.

Wednesday, October 19, 2011

Buah Pukul

Bismillahirahmanirahim

Seni tempur Buah Pukul yang sangat popular di Johor dan kini mula merebak di seluruh Tanah air asalnya merupakan hasil gabungan 3 seni tempur.Dibawa oleh seorang pedagang /pendakwah dari Yunan,China iaitu Syed Abdul Rahman yang kemudian menurunkan ilmunya kepada 2 pendekar tersohor Johor ketika itu,Dato Awang Ali dan Pak Long Mohamad Yasin.Kedua-duanya merupakan pakar dalam disiplin tempur sendiri iaitu Awang Daik dalam Persilatan Sunting manakala Paklong Mohamad Yasin pula seni Sendeng.Hasil percambahan ilmu ini maka lahirlah Lian Paduka.Kenapa digelar Lian Paduka? ada beberapa versi mengenainya.

Pertama : Seni Lian Paduka dipelajari oleh Almarhum Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar yang turut mewajibkan setiap anggota Johor Military Force mempelajarinya.Baginda diasuh oleh Dato Awang Daik yang juga seorang majistret di Mersing.Lian Paduka hanya ekslusif kepada mereka yang berkhidmat dengan istana Johor.

Kedua : Secara kebetulan pula ia merupakan singkatan PADUKA ( Pukulan Awang Daik Untuk Keselamatan Anda)

Apapun ia berkembang dengan sangat pesat selepas itu berkat doa para mufti dan perkenan Tuanku Sultan Johor ketika itu.Oleh kerana Awang Daik dilantik menjadi majistret di Mersing dan ramai anak watan turut mempelajarinya sehingga ada yang menggelar permainanan ini Buah Pukul Mersing (melekat sehingga kini) manakala pewaris-pewaris dari sanad Paklong Mohamad Yasin yang berkembang biak di Muar dan Kluang menggunakan beberapa nama antaranya Gayang Lima,Lian Buah Pukul Timur,Lian Sendeng dan lain-lain.

Bagi Lian Padukan ia diwariskan permainan Lian Padukan semasa Allahyarham Pak Mat Kedidi berguru dengan ramai guru buah pukul dari kedua dua sanad ( Awang Daik dan Paklong Mohamad Yasin).Oleh kerana pencapaian luar biasanya beliau ketika itu beliau mewarisi Nukil Asal Buah Pukul dari Chu Aman.Dari situ Pak Mat Kedidi telah menambaik baik permainan hasil pengalaman dan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru Lian Paduka dengan ilmu Muay Thai atau Tomoi menjadikan Lian Kacuk sebelum ia dinamakan Lian Padukan hasil cadangan Mufti Johor,Sahibus Samahah Dato Haji Ahmad Awang yang juga kekanda Allahyarham Pak Wahab Endau.Selepas itu nama Lian Padukan terus digunak pakai sehingga didaftarkan secara sah oleh Haji Hasyim iaitu pewaris Nukil Buah Pukul terkini bersama Dato Azmi dengan restu Pak Mat Kedidi yang ketika masih menjadi penaung perguruan sekitar pertengahan 1990an.

Kini ia diwariskan kepada Ayahanda Dr. Haji Hasyim Salleh selaku Mahaguru Utama Lian Padukan Malaysia.Dizaman kepimpinan beliau ramai jurulatih berkemampuan dilahirkan berlaku perubahan sistem pembelajaran sesuai peredaran zaman agar terus relevan.Banyak perubahan dan penambahbaikan bagi memantapkan Jurus dan Lian dibuat bagi memastikan evolusi permainan sentiasa segar dan evergreen.Pentadbiran perguruan juga diperkemas dengan perlantikan wakil Ayahanda Dr. Hj Hasyim di setiap negeri.Perubahan drastik dalam memodenisasi perguruan buah pukul ini hasil kerjasama berpasukan oleh setiap peringkat terutama wakil-wakil negeri yang dilantik.Mereka yang datang dari pelbagai latar belakang karier dan pendidikan telah berpadu bergabung tenaga,idea dan usaha bagi memastikan Lian Padukan sebuah perguruan buah pukul moden tanpa meninggalkan petua,rentak permainan serta prinsip-prinsip Buah Pukul lama.Maka sekiranya ada yang diluar sana masih sangsi saya menyeru agar tidaklah menjerit membabi buta tanpa fakta tetapi datanglah ke gelanggang kami diserata negeri untuk bermesyuarah dan mendapat penjelasan.

Sesungguhnya setiap pelatih Lian Padukan diasuh untuk menjadi warganegara yang baik dengan mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan.Ilmu yang diasuh tidak pernah disuruh untuk pergaduhan tetapi apabila keperluan mendesak maka setiap pelatih sudah masak untuk menggunakannya tanpa ragu-ragu.Guru-guru Lian Padukan sentiasa berpesan " MUSUH JANGAN DICARI REZEKI JANGAN DITOLAK"