SAMBUTAN JUBLI BUAH PUKUL LIAN KE-118 TAHUN


(5hb Januari 1897-5hb Januari 2015)

Thursday, April 29, 2010

Bersatu Teguh,Bercerai Roboh

Saya tertarik dengan apa yang dipetik oleh Cikgu Hisham tentang Hang Tuah..

>BINALAH KEMBALI MELAKAMU<

Tun Perak Seri Maharaja,
binalah Melakamu
dengan setia Hang Tuah
bara Hang Jebat
sekata Kasturi, Lekir dan Lekiu.

Kukuh itu puncanya setia
bara penghindar leka
sekata untuk mara.

Kalau datang Kerma Wijaya
membawa fitnah
datang Mendeliar
menghembur seranah,
Berbentenglah kau Tun Perak,
pada Tuah yang setia,
Jebat yang berbara,
Kasturi, Lekir, Lekiu yang sekata.

(Petikan dari blog Lian Padukan Martial Arts Academy)

Apa yang boleh kita ambil iktibar dari puisi ini?? Kita semua harus bersatu teguh dibawah kepimpinan yang adil dan saksama.walau kita bak Hang Tuah yang taat setia kepada amirul mukmininnya..walau rasa diri kita sentiasa ingin menyanggah ketidak adilan membabi buta bak Hang Jebat dan pengikut seia sekata bak yang lain namun hakikatnya kita tetap harus bersatu agar kesatuan tetap teguh.

Usah sesekali membiarkan diri kita dipengaruhi anasir-anasir dalaman (jika anasir luar sudah tentu dah diajak "berdiri") yang tidak ubah seperti Raja Mendeliar dan Patih Kerma Wijaya.Sikap mengadu domba,PHD (Perasaan Hasad Dengki),fitnah- memfitnah demi mengejar pangkat dan kedudukan sehingga sanggup menganiaya mereka yang setia,taat dan berjasa.

Dalam konteks Persatuan kita,saya menyeru agar jauhilah sikap-sikap yang tersebut agar ukhwah persahabatan,persaudaraan dan silaturahim tidak terhakis akibat hanya kepentingan diri sendiri.

Ingatlah untuk membina sesebuah empayar sejarah telah membukti tidaklah mudah namun untuk menghancurkan boleh dilakukan dalam sekelip mata.Waspada pada musuh dalaman baru menentang unsur luar.Sama-samalah kita beringat..

Saturday, April 24, 2010

The Legend Is Born- Ip Man.

Ini satu lagi cerita yang anda semua patut tonton..Bukanlah niat saya ingin mempromosi permainan Ving Chun tetapi dah terpaksa hanya filem ini yang sangat hampir dengan permainan citarasa saya dan anda diluar sana iaitu BUAH PUKUL...

Didalam filem ini ditonjolkan banyak koreograf tempur ving chun yang menarik.Untuk mendapat feel sebelum keluar pawagam sila layari youtube dan taip "THE LEGEND IS BORN-IP MAN"..pasti tidak menyesal keluarkan belanja untuk ke pawagam.

Thursday, April 22, 2010

Nampak Sama Tapi Tidak Serupa




Gambar ini diambil dari blog senibeladiri lain.Apa yang menarik adalah artikelnya dan gambarnya yang mempunyai kisah hampir sama dengan aliran Buah Pukul di Semenanjung.
Adakah ia datang moyang yakni pengasas yang sama?? Wallah'ualam...Harap yang mengetahui kisah sebenar boleh berkongsi info agar tersebar luas ilmu Allah s.w.t ini.

Bersatu Teguh




Hasil keteguhan bai'ah maka teguhlah kesatuan,persatuan dan penyatuan

PROMOTER BUAH PUKUL

Idea ini timbul sewaktu saya berada di Seri Manjung untuk urusan perniagaan.Satu pagi seorang sahabat telah menghantar sms bertanyakan samada saya boleh rekomen mana-mana guru ‘oldskool’ yang masih mengajar disekitar JB.Saya membalas mengatakan saya akan cuba hubungi guru-guru lama yang pernah mendidik saya dalam Buah Pukul.Ligat kepala memikirkan siapakah orang yang sepatutnya saya rekomenkan kerana mereka ini jika mahu dibandingkan nama tidaklah segah @ semasyhur nama-nama besar dalam Buah Pukul seperti Pak Mat Kedidi,Pak Raja Ali,Pak Atan Air Batu,Hj Hashim dan lain-lain tetapi mereka ini telah pun mencapai tahap hak permainan sendiri.Golongan seperti yang tersebut memang ramai di Johor Bahru khasnya negeri Johor amnya.( kadang-kadang jiran sebelah rumah je.)

Apabila dikaji serta difikirkan, Lian Buah Pukul sebenarnya mempunyai nilai komersil yang sangat tinggi disamping potensi untuk menjadi seni beladiri yang utama bagi bangsa Melayu khasnya kerana teknik, strategi dan taktik pergaduhannya telah mengalami evolusi atau perkembangan yang sangat pesat.( seperti Tomoi @ Muay Thai oleh bangsa Siam).Ianya terjadi mungkin disebabkan budaya yang diamalkan oleh pengamal Buah Pukul itu sendiri sebab itu ada pendapat otai-otai buah pukul mengatakan tidak akan ada khatam atau penamat didalam ilmu permainan ini.Kesimpulannya setiap masa ada sahaja buah –buah lama di naik taraf (upgrade) dan buah-buah baru terhasil oleh para pengamal yang mendapat hak tersendiri.Maka seharusnya wujud individu atau perkumpulan mengambil ‘langkah mendulu’ membawa mereka ini untuk diketengahkan ilmu, kemahiran serta pengalaman yang ada untuk mereka yang dahagakan serta mengilakan skil-skil tempur yang efisyen.

Walaupun ada antara pengamal ini berjawatan tinggi atau kehidupan yang selesa namun segolongan besarnya masih ramai guru-guru ini hidup dalam keperitan.Saya memikirkan sudah tiba masanya mereka ini ditonjolkan melalui seminar-seminar,kelas-kelas latihan yang di anjurkan secara berkumpulan mahupun perseorangan.Dengan rancangan atau aktiviti seperti ini adalah diharap guru-guru ini mendapat sedikit sebanyak manfaat dari segi pendapatan sara diri dan keluarga disamping berkongsi pengalaman serta skil yang mereka ada untuk bekalan pengamal yang sedia ada dan juga bagi yang baru berjinak-jinak dalam Lian Buah Pukul.Seperti sedia maklum aliran Buah Pukul memang banyak melahirkan ‘guru-guru’.Walaupun Buah Pukul Mersing, Lian Padukan, Gayang Lima, Gerak Lian dan lain-lain secara asasnya ada persamaan dari segi sejarah ( berkongsi dari keturunan yang sama) namun masih terdapat perbezaan yang ketara dari segi corak pertempuran akibat daripada evolusi yang telah dinyatakan.Perbezaan inilah yang harus diketengahkan mengikut ‘signature’ permainan guru-guru terbabit.

Bertitik tolak dari sinilah saya mencadangkan kepada sahabat saya tadi agar di kumpul seorang dua rakan segelanggang untuk menubuhkan sebuah syarikat yang mempromosi permainan ini.Syarikat ini bertindak sebagai promoter dalam mengembangkan ilmu tempur melayu ini.Syarikat ini seharusnya tidak mengejar keuntungan semata-mata tetapi dapat memperjuangkan aliran Lian Buah Pukul serta memberi peluang kepada guru-guru ini memperolehi pendapatan tetap mahupun sampingan dengan pembentangan serta pertunjukkan permainan Lian Buah Pukul mengikut signature masing-masing.Dengan usaha seperti ini Insyallah kita akan lihat suatu masa nanti zaman kegemilangan Lian Buah Pukul akan kembali seperti pada zaman-zaman Awang Daik serta Almarhum Sultan Ibrahim Johor.Disamping itu juga adalah diharap dengan usaha ini turut membawa kepada penyatuan serta ikatan ukhwah persaudaraan yang kuat dikalangan para pengamal dan pendukung Lian Buah Pukul.

Nota : Ini adalah catatan & pendapat peribadi pemilik blog.Sekiranya ada yang tersinggung dengan artikel ini harap maaf kerana pemilik blog ini berniat ikhlas tidak mempunyai sebarang niat untuk berkontroversi atau mendapat publisiti diatas terbitan artikel ini.

Sejarah Penubuhan Persatuan Lian Padukan Johor

Salam kepada semua..

Sila layari laman LP Melaka.Disana tercatat sejarah ringkas perjalanan Cikgu Boy dalam mempelajari Lian Padukan.Yang paling best terdapat logo asal Persatuan LP Johor.
Oldskool Logo.Disana juga tercatat bukti bahawa Guru Tua Pak Mat Kedidi menyerahkan Nukil Buah Pukul kepada ayahanda guru utama tidak seperti yang didakwa orang ramai yang mengatakan ayahanda Guru Utama memilikinya secara tidak sah.Allah sentiasa bersama orang-orang yang haq.

Syabas Cikgu Boy kerana menjadi salah seorang individu yang mencoret sejarah agar diteladani musuh dan kawan.

Wednesday, April 21, 2010

Membentuk Disiplin Diri Melalui Buah Pukul ( Siri 2)

Didalam latihan buah pukul secara sedar atau tidak banyak membentuk keperibadian seseorang pelatih atau pengamal.Jika lurus pilihannya luruslah perjalanan hidupnya jika bengkok (bukan Bangkok,Thailand tau..)pilihannya maka hitamlah perjalanan hidupnya.Seumur hidup saya berkelana dan berguru belum pernah lagi saya ketemu seorang guru yang mengajar agar anak muridnya menjadi syaitannirrojim setelah mahir ilmu buah pukulnya..Memang tujuan mempelajari buah pukul untuk mahir bertumbuk,bertempur,berbeladiri, bergaduh namun tiada yang menganjurkan untuk menjadi pembuli, samseng, kaki pukul dan sebagainya.Mengikut sejarah kedatangan Buah pukul pun ia diperturunkan diwariskan kepada dua penjawat awam yang menegakkan keadilan,keselamatan dan keamanan.Selepas mereka pula buah pukul diwariskan kepada generasi ulamak/tokoh agama dan kaum kerabat yang terpilih.Terpilih disebabkan sahsiah diri pelatih atau pengamal yang boleh memegang amanah sebagai khalifah yang memakmurkan duniawi disamping tidak meninggalkan tuntutan akhirati bukan yang membawa bencana kepada orang lain menggunakan buah pukul.

Latihan awal yang keras dan lasak membina fizikal kita sebagai pelatih dan pengamal mantap. Tidak hanya itu latihan ini juga turut melatih mental kita menjadi tahan sakit.Dengan ini secara tidak langsung ia melatih diri kita dalam fizikal,mental dan semangat daya juang untuk tidak berputus asa dalam melayari kehidupan.Dalam setiap latihan buah pukul pastinya diri digandingkan dengan rakan bertarung atau 'sparing partner'.Sparing partner inilah yang selalunya agar kekal bersahabat dengan kita.
Akan erat tali silaturahim berbanding adik-beradik kandung yang lain..kenapa perkara ini berlaku ? Pada pendapat peribadi saya ia merupakan hasil dari latihan keras bersama.Masing-masing tahu dimana kelebihan dan kelemahan pasangan.Masing-masing kenal erti sakit tak terperi apabila pukul memukul berlaku..Walau redha' semasa latihan namun masing-masing cuba menjaga tahap kekuatan pukulan dan tendangan agar pasangan tidak terlalu mudarat dan tenat.Masing-masing saling bantu membantu agar keduanya saling tidak ketinggalan dalam memahami ilmu.Inilah perasaan yang ingin dikongsikan dicontohi.Bayangkanlah apabila silaturahim ini diteruskan dengan sahabat-sahabat lain di rumah,tempat kerja atau dimana sahaja.Disinilah aplikasi diluar buah pukul amat berguna menggunakan pendekatan yang diperolehi semasa mendalami buah pukul.Alangkah indah jika kita sebagai lelaki & sebagai ketua keluarga menggunakan intisari yang dipelajari untuk membina sebuah keluarga yang mantap sentiasa berfikiran positif dan berdaya saing dan tidak menggunakannya mendera anak isteri.

Dalam penyelesaian masalah pelatih diasuh dan dididik agar menghabiskan kerja sehingga selesai.Secara tidak langsung kita dididik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi sehari-hari dengan pelbagai cara @ method dan tidak buntu dalam mencari jawapan.Sedarkah anda kita juga dilatih mental dan fizikal untuk membuat keputusan yang pantas dalam menyelesaikan tugas?? Nampak...latihan yang kita lalui selama ini sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi dalam membentuk diri kita.

Pesanan Guru Utama Ayahanda Haji Hasyim

Mendapat 5 Hal Melalui 5 Jalan :-

1. Berkah rezeki akan diperoleh melalui solat dhuha

2. Cahaya dalam kubur melalui solat tahajud

3. Kemudahan dalam menjawab pertanyaan Mungkar & Nakir melalui membaca Al-Quran

4. Kemudahan melintasi Siratal Mustaqim melalui puasa & sedekah

5. Mendapat perlindungan Arsy Allah pada hari HISAB melalui zikrullah

P/S : Sama-samalah kita mengambil pesanan ini secara serius dan mengamalkan yang dituntutNya serta meninggalkan tegahanNya.Insyallah..

Sunday, April 18, 2010

Filem Aksi Antarabangsa Yang Amat Dinantikan

Nantikan 2 buah filem aksi pertarungan untuk tahun 2010.Ong Bak 3 ( Tony Jaa) dan Ip Man 2 ( Donnie Yen)

Ip Man 2 akan dijangka ke pawagam tempatan sekitar awal Mei 2010.Ong Bak 3 pula belum tahu...apa pun keduanya menampilkan koreograf pertarungan yang amat menarik untuk penonton yang gemarkan Seni Beladiri.

Friday, April 16, 2010

Membentuk Disiplin Diri Melalui Buah Pukul ( Siri 1)

Bagi pengamal senibeladiri lahir di Johor dan Pahang terutama di sekitar Mersing,Batu Pahat,Kluang,Endau-Rompin dan Kuantan..Buah Pukul merupakan seni pertarungan yang tidak asing lagi.Mengikut sejarah ia dibawa oleh seorang pedagang Yunan datang berdagang dan berdakwah melalui Johor/Singapura.Diperturunkan ilmu pertarungan ini kepada 2 orang tokoh dan juga pendekar tersohor Sultan Ibrahim iaitu Dato' Awang Bin Ali ( Dato' Awang Daik Al-Hakim) dan Pak Long Mohammad Yassin.Melalui keduanya permainan/seni buah pukul berkembang biak melahirkan guru-guru dan pengamal-pengamal buah pukul yang terkenal.

Saya tidak ingin mengulas atau kupas siapakah guru-guru ini.Apa yang ingin saya kongsi adalah ilmu, pelajaran yang saya perolehi hasil didikan mereka ini yang boleh diterapkan didalam perjalanan hidup kita sehari-hari.Dari aspek didikan agama,menguruskan rumahtangga hinggalah menguruskan perniagaan/pekerjaan (dalam konteks saya sebagai seorang saudagar/pedagang).

Dari aspek didikan agama ketika pembukaan gelanggang atau ingin memulakan latihan pastinya perkara pertama yang disuruh oleh guru adalah membaca doa pembukaan(Al-Fatihah atau apa sahaja doa mengikut kepercayaan agama masing-masing).Tidak hanya itu kita diajar,diasuh dan di didik agar taat akan perintah Allah s.w.t ( Amal ma'ruf nahi mungkar),mengerjakan segala perintahNya serta meninggalkan laranganNya.Disamping itu pelatih & pengamal wajib mentaati ibubapa,guru dan amirul mukminin.Melalui didikan ini kita terus berjalan di laluan yang lurus berpandukan Al-Quran.Melalui agama juga rohani diri diperkuatkan agar tidak sesat agar tidak kosong dalam menempuhi kehidupan yang mencabar.Bagi yang tiada pegangan agama atau lemah tiang kepercayaan kepadaNya maka terjadilah bunuh diri dan pelbagai lagi penyakit diri masa kini.Disamping itu setiap pelatih baru atau pengamal diterapkan semangat cintakan agama,bangsa dan negara samada kita sedar atau tidak.

Pengalaman Dalam Mencari Seni Pukulan Yang Efisien (Siri 2)

Sejak dari itu pencarianku bermula...

Aku meminta izin daripada bapaku untuk berguru dengan pekerjanya itu.Dia bersetuju.Dia pun menggajikan pekerjanya itu untuk melatih dan mengasuh aku dan adindaku dalam silat melayu.Dialah guru Silat Melayuku yang pertama.Namanya Pak Hassan berumur lebih kurang 45 tahun ketika itu.Dia ni sebenarnya seorang bekas banduan ( tak perlulah aku cerita atas kesalahan apa yang nyata dia bekas banduan jenayah berat)Pak Hassan mengajarkan ku Buah Pukul Mersing.Dengan tangan beliau aku dan adinda hanya sempat mahir Lian 5 kerana dia terpaksa pulang ke kampungnya di Mersing diatas sebab peribadi.

Aku dan adinda x putus asa..kami pasangkan telinga mencari perguruan yang terdekat dengan rumah.Adindaku akhirnya bertemu dengan perguruan idamannya manakala aku masih tercari-cari sehingga aku bertemu Pakcik Sulaiman a.k.a Pak Leman Kuey Tiaw.
Pertemuan dengannya diatur oleh kawan setamanku yang juga anaknya.Pak Leman seorang peniaga Kuey Tiaw Goreng dipasar malam sekitar Johor Bahru.Diwaktu lapang aku akan kerumahnya berlatih berpasangan dengan anaknya yang ku panggil Iman.Pak Leman seorang pengamal Buah Pukul Mersing ( aliran mana tak pula aku tanya).Dengan Pak Leman dapatlah kekal belajar hingga mahir Lian tujuh.Kata Pak Leman belajar buah pukul mahir Lian 1 dah boleh pukul orang..hehehehe..Inilah yang ku idamkan (Masa tu berangan nak pegang sekolah..huh remaja yang sedang mencari identiti la katakan..) Aku terpaksa stop sementara kerana ingin menumpukan kepada PMR..setelah selesai PMR aku cuba berguru semula dengan Pak Leman namun dia semakin tak menang tangan kerana perniagaan kuey tiawnya semakin maju...

Selepas itu pencarianku berhasil..kali ni dengan Che' Othman a.k.a Abah Man.Bukan senang nak pujuk dia menerima aku sebagai muridnya..rata-rata yang menjadi muridnya menjadi 'penakluk/pemerintah' taman.Berhari-hari aku memujuk akhirnya membuahkan hasil..Selama 3 bulan yang pertama aku hanya berlatih pra-latihan yang sama(mungkin menguji kesabaran) akhirnya aku dilatih belebat dan aplikasi buah.permaiannya sendeng tetapi tidak ada bunga atau pencak.Mirip buah pukul..Kemudian aku memanjangkan kaki ke rumah Wak Yiem.Wak Yiem juga mengajar pukulan tetapi gerak Jawa.Dengan Wak Yiem aku di ajar agar menggunakan segala pengetahuan beladiri hanya untuk mempertahankan diri tidak untuk menceroboh.Beliau mengutamakan fizikal yang mantap agar dapat bertahan apabila diserang atau diasak bertubi-tubi serta dapat melakukan serangan yang padat dan mantap..disamping belajar pukulan aku diasuh beliau dengan pengetahuan agama.

Begitulah pengalaman remajaku hanya dihabiskan mencari guru-guru untuk mendalami silat.Nantikanlah coretan seterusnya bagaimana aku boleh bersama Lian Padukan...